MERDEKA PULAU PINANG DI MANAKAH TAPAK WARISAN PRIBUMINYA?

KEPALA BATAS: Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) diminta mengambil peranan untuk memastikan Kampung Batu Uban yang telah wujud seawal tahun 1734 agar dipertahankan dan diwarta sebagai kampung warisan.

This image has an empty alt attribute; its file name is IMG-20200906-WA0025-324x235.jpg



Setiausaha PAS Negeri Pulau Pinang, Iszuree Ibrahim berkata, keberadaan Kampung Batu Uban telah menjadi penempatan dan pelabuhan Melayu terawal Pulau Pinang, bahkan lebih awal dari kedatangan Kolonial British Francis Light pada 1786.

Namun menurutnya, tanah kampung Melayu itu kini hanya berbaki suku apabila tiga perempat daripadanya telah diambil alih oleh pemaju Era Kemas, kemudian Asia Green dan Ivory Properties Group Berhad bagi menaikkan kondominium baharu di tanah itu.

Kesali beliau, semua perobohan kediaman dengan mengambil alih tanah tersebut berlaku di bawah pemerintahan Kerajaan DAP Pulau Pinang, sedangkan sejak zaman Pakatan Rakyat lagi berjanji untuk mewartakan warisan yang ada di negeri ini.

Menurut Iszuree juga bekas Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang yang dipecat DAP, gesaan tersebut sentiasa disuarakan PAS Pulau Pinang selaras janji Manifesto Pakatan Rakyat, termasuk mengemukakan memorandum kepada Kerajaan Persekutuan.

Memorandum berkenaan telah diserahkan dalam pertemuan bersama dua Menteri yang pernah menerajui portfolio kebudayaan iaitu Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr Rais Yatim dan Dato’ Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

“Kondominium bernilai tinggi harganya ini tidak menguntungkan kampung warisan Melayu. Sudah tentu yang akan hadir menduduki kondominium ini terdiri daripada bangsa DAP. Yang dapat kita lihat, Masjid Batu Uban juga sudah hilang jemaahnya,” ujarnya.

Menurut beliau lagi, Kerajaan DAP Pulau Pinang juga dilihat sengaja menangguhkan rumah-rumah ganti dari akujanji pernah diberi Timbalan Ketua Menteri, Dato’ Mansor Othman dahulu, serta segala pembangunan pernah diperjuangkan sebelum ini.

“Tanah pun telah dikenalpasti dan sebagainya, tetapi pembangunan yang kononnya rumah ganti rumah itu terbantut, dan senyap terus.

“Akhirnya penduduk yang sepatutnya dibawa balik ke dalam kampung khususnya untuk diisi dalam flat ganti rumah itu akhirnya telah terpelanting keluar bila mana janji-janji itu semua tidak dikotakan,” katanya.

Sehubungan itu ujarnya, PAS Pulau Pinang telah mengemukakan alternatif dengan cadangan supaya kem tentera bersebelahan Kampung Batu Uban diambil alih dan dibangunkan di bawah ICU JPM bagi mengelakkan kampung itu terus lenyap.

Hal tersebut juga terangnya, memerlukan kem tentera tersebut dipindahkan ke Tanah Persekutuan di lokasi lebih sesuai dan strategik memandangkan kedudukannya di situ tidak lagi bersesuaian setelah bertapak sejak tahun 1960-an lagi.

“Kalau DAP boleh mewujudkan zon warisan dunia di Georgetown, semata-mata untuk memastikan warisan-warisan British dan juga China yang telah bermastautin di situ sejak tahun 1800 lebih tidak dimusnahkan, malah dipelihara lagi, kenapa tidak warisan lain?” soalnya. – HARAKAHDAILY 6/9/2020Advertisement

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *