TUAN IBRAHIM TUAN MAN KAJI SEMULA PSR-BAKAL MELINGKUPKAN NELAYAN PANTAI !

Tuan Ibrahim diminta batalkan Projek Tambak Laut

 Gago Daily  3/12/2020 03:50:00 PM

Oleh Wan Noor Hayati Wan Alias
KUALA LUMPUR : Bekalan ikan untuk rakyat di utara tanah air terus menyusut 50 peratus berikutan kegiatan mengorek pasir untuk projek tambakan laut di perairan selatan Pulau Pinang (PSR).
 Pengerusi Persatuan Nelayan Pulau Pinang (PEN Mutiara), Nazri Ahmad, berkata ketika ini lebih 14,000 nelayan dari Pulau Pinang dan utara Perak mengadu hasil tangkapan mereka semakin berkurang akibat kegiatan korek pasir dan tambak laut itu.
  “Jika kegiatan ini berterusan kita akan kekurangan sumber protein untuk rakyat malah terpaksa bergantung kepada bekalan ikan yang tidak segar diimport dari luar.
   “Ketika ini lebih dua bilion tan ikan setahun didaratkan, tetapi jumlah itu semakin menyusut hingga satu bilion tan setahun selepas kegiatan korek pasir semakin rancak berlaku.
   “Beberapa laporan polis sudah dibuat membabitkan ternakan hidupan akua mati di Teluk Pahang sehingga jutaan ringgit,” katanya kepada wartawan.
  Pelaksanaan PSR dengan keluasan lebih 1,821 hektar untuk membina tiga pulau buatan di perairan Permatang Damar Laut berdekatan Bayan Lepas memerlukan 189 juta meter padu (m3) pasir.
  Bagi memenuhi keperluan itu kegiatan korek pasir akan membabitkan keluasan 818 kilometer persegi pasir khususnya di utara Perak. 
  Dalam pada itu, kegiatan kecurian pasir juga berlaku untuk memenuhi keperluan projek berkenaan.
   “Kegiatan korek pasir, curi pasir sukar untuk dibuktikan tetapi kita boleh lihat kesannya, contohnya ekosistem musnah, hidupan laut mati, ternakan ikan mati, kawasan darat semakin mengecil contohnya Pulau Korea hilang jika dilihat dari jambatan Pulau Pinang.
   “Projek PSR dijangka mengambil masa sehingga 50 tahun dan kita akan menyaksikan kemusnahan alam dan hidupan laut yang dahsyat di negara ini,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *