UMNO NGAN PAS SAMA SAJA : PEMUSNAH WARISAN MELAYU

 

Kerajaan Terengganu bunuh Kampung Warisan Melayu sebagai ‘cultural genocide’
Kerajaan Terengganu bunuh Kampung Warisan Melayu sebagai ‘cultural genocide’

Ahli Parlimen Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad menyelar sikap dan tindakan kerajaan Terengganu yang tidak ambil peduli malah memusnahkan kampung-kampung warisan Melayu di negeri itu.

Pemusnahan ini kata beliau adalah “cultural genocide” – kemusnahan budaya secara jenayah dan selalunya pemusnahan ini dilakukan oleh sesuatu kaum atau bangsa ke atas bangsa yang lain, kata beliau dalam kenyataan medianya hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas hasrat Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif untuk menjadikan Kampung Cina sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO sempena sambutan Tahun Baharu Cina baru-baru ini.

“Sebelum ini permohonan tersebut telah ditolak oleh UNESCO atas beberapa faktor tertentu termasuk pembangunan yang diluluskan oleh Kerajaan yang tidak sesuai dengan status Bandar Warisan.

“Memang masyarakat Cina Kuala Terengganu patut dipuji atas usaha hebat dan kesungguhan menjaga warisan mereka,” kata beliau.

Kata Raja Bahrin, persoalan rakyat Terengganu pula, di manakah bandar atau kampung warisan Melayu Kuala Terengganu yang dahulunya wujud dengan meluas dan begitu membanggakan kita?

“Tiada kampung Melayu contoh di ibu Negeri Terengganu yang penduduknya 95 peratus Melayu? Kampung Kolam telah lama hilang.

“Kampong Banggol dan Lorong Jamil pun telah dirobohkan. Begitu juga kampung bersebelahan Istana Maziah dan Dalam Kota.

“Yang paling sedih dan menyayat hati adalah kemusnahan Kampung Ladang dan Tanjong.

“Khususnya Kampung Ladang Tok Pelam yang mempunyai komuniti kraf tradisi asli pembuat tembaga, perak, emas, batik, songket, keris, kuih muih dan pelbagai lagi kraf warisan Melayu,” tambah Pengerusi AMANAH Negeri Terengganu itu.

Kata beliau, semua ini adalah warisan hidup “living heritage”, yang wujud secara semula jadi di bumi Terengganu Darul Iman.

Pemusnahan ini katanya adalah “cultural genocide” – kemusnahan budaya secara jenayah! Selalunya pemusnahan ini dilakukan oleh sesuatu kaum atau bangsa ke atas bangsa yang lain.

“Tetapi Terengganu amat unik dan luar biasa, Bangsa Melayu Terengganu sendiri meranapkan warisan nenek moyang kita demi mengejar “pembangunan moden” yang tidak membawa erti atau nilai serta roh Melayu tempatan kita.

“Kita mengadai warisan dan roh tradisi bangsa sendiri dengan harga yang amat murah untuk “pembangunan moden” yang pemimpin kerajaan hari ini mengatakan adalah “kemajuan”.

“Nilai tradisi dan warisan kita telah dinodai dengan hebat semata-mata atas kepentingan kewangan,” tambahnya.

Negeri lain di Pantai Barat Malaysia cuba membina kampung kraf tradisi yang baru. Kita di Terengganu merobohkan kampong kraf asli semula jadi tanpa perasaan bersalah, jelas beliau.

Bandar Melaka yang majoriti penduduk adalah bukan Melayu menyelamatkan perkampungan tradisi Melayu bernama Kampung Morten sebagai kampung tradisi contoh, katanya.

“Ianya wujud di tengah-tengah komuniti majoriti kaum Tionghua.

“Tidakkah kita merasa sedih dan terhina wujud di tengah-tengah masyarakat majoriti Melayu Terengganu sambil melihat warisan dan roh budaya kita di musnahkan oleh bangsa sendiri yang tamak dan mabuk mengejar “pembangunan” dan kewangan semata-mata?” soal Raja Bahrin.

Pemimpin kerajaan hari ini sambung beliau, telah bankrup nilai moral warisan serta roh mencintai tradisi nenek moyang sendiri.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *