DI TANGAN KERAJAAN PAS TERENGGANU WARISAN MELAYU MENYEMBAH KE BUMI !

Sembah bumi jua!

Helmy Abd Rahman dan Zaid Salim
cnews@nstp.com.my

KUALA TERENGGANU: Lebih setahun lalu, Harian Metro pernah melaporkan mengenai seorang lelaki yang membuat tuntutan sebanyak RM20 juta sekiranya kerajaan mahu merobohkan rumahnya bagi tujuan pembangunan.

Namun semalam, rumah kayu tradisional dua tingkat yang dibina pada 1941 itu menyembah bumi selepas ia dirobohkan pihak berkuasa kira-kira jam 10 pagi.

“Saya tidak pernah bersetuju dengan tawaran pampasan RM20,000, tetapi pagi ini saya bersetuju rumah ini dirobohkan,” kata Wan Mokhtar Wan Yusof, 66, pemilik rumah kayu tradisional di Kampung Tanjung Kelab Pantai, di sini.

Wan Mokhtar berkata, dia kesal kerana usaha mempertahankan kediaman yang sudah berusia 77 tahun itu sejak enam tahun lalu gagal.

“Memang pada Ahad lalu, saya ada menerima notis daripada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) meminta saya mengosongkan rumah ini selewat-lewatnya hari ini (semalam).

“Tetapi tempoh masa selama tiga hari terlalu singkat bagi saya untuk mencari tempat tinggal baru dan merayu diberi tempoh seminggu dua lagi namun rayuan tidak diendahkan.

“Saya diminta membayar RM500,000 kepada kerajaan negeri sekiranya mahu mempertahankan rumah ini daripada diroboh,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Kewujudan rumah berkenaan yang berada di tengah kawasan projek pembinaan mula tular selepas bapa pelakon terkenal Emma Maembong, Ismail Embong melawat rumah berkenaan dan kemudian menyedari ia didiami rakannya, awal tahun lalu.

Menurut Wan Mokhtar, dia dan tujuh adik-beradiknya yang lain pernah dipanggil ke PTG Terengganu berhubung projek yang ingin dibangunkan di kawasan kampung berkenaan beberapa tahun lalu.

WAN Mokhtar sedih melihat rumahnya dirobohkan.

Katanya, masalah timbul apabila pihak PTG memaklumkan tiada rekod pemilikan tanah berkenaan disimpan.

“Arwah ayah saya, Wan Yusof Wan Abdul Kadir membeli tanah ini daripada ibu saudaranya, Wan Mek Wan Yaacob pada 1977.

“Bagaimanapun, geran asal hilang. Tetapi yang peliknya, bagaimana pula rekod pemilikan tiada dalam simpanan PTG,” kata bapa kepada enam anak itu.

Wan Mokhtar berkata, dia dan keluarga tidak langsung menghalang pembangunan, malah menyokong penuh pelaksanaan projek yang memberi manfaat kepada rakyat.

Menurutnya, kerajaan negeri di bawah pemerintahan Barisan Nasional (BN) sebelum ini pernah menawarkan pampasan RM20,000 namun ditolak kerana mendakwa tidak setimpal berikutan lokasinya di tengah kawasan bandar.

“Saya bersama adik-beradik cuba mempertahankan rumah ini termasuk menggunakan khidmat peguam,” katanya.

Wan Mokhtar berkata, dia memohon supaya kerajaan negeri mempertimbangkan keadaannya dengan memberikan penginapan baru untuk dia tinggal dengan selesa.

“Buat sementara ini, saya menumpang rumah adik-beradik, tetapi sampai bila. Sebab itu saya perlukan sebuah rumah bagi memulakan kehidupan baru,” katanya yang mendakwa tidak bekerja sejak tujuh tahun lalu kerana masalah kesihatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 November 2018 @

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *