MASAKAN ISTIMEWA P.PINANG

PESAMAH DAGING

Saya dapat resipi pesamah ini sekitar lapan sembilan tahun yang lalu , salin daripada satu rancangan tv yang dihoskan oleh Chef Liza Zainol… seingat saya waktu tu bulan Ramadan
Dah pernah cuba dulu tapi saya tukar daging kepada udang , dimasak bersama rebung seperti asalnya menggunakan rebung

Pagi tadi masa keluarkan daging daripada freezer teringat pesamah yang buat dulu… tiba-tiba pula terasa nak makan
Buka balik buku sebab resipi masih duduk dalam buku lagi… tak post lagi kat sini
Cuma kali ni terpaksa guna kentang… rebung tak ada sebab tak plan pun nak buat

Untuk percubaan yang ini saya ada tambah dua tiga bahan tetapi bahan basic resipi asal masih saya kekalkan sebab tak nak nanti rasanya lari
Jika dulu guna cili kisar… kali ini cili serbuk
Saya juga perapkan dulu daging dengan bahan rempah supaya rempah-rempah dapat meresap masuk ke dalam daging , asalnya daging hanya direbus kosong saja

Rasa pesamah lain sikit daripada kari biasa walaupun rupa seakan sama… kena ada rasa rempah yang sedap dengan daging yang lembut ,  rasa manis dan sedikit masam

 

PESAMAH DAGING

by IzaAkma SSK

BAHAN A :
  • 500 gm Daging Batang Pinang
  • 2 biji Ubi Kentang
  • 1 cwn Santan
  • 1 cwn Air
  • 1 sdb Kerisik
  • Asam Keping
  • Garam & Gula secukup rasa
  • Minyak untuk menumis
BAHAN B (Kisar Halus) :
  • 1 labu Bawang Besar Merah
  • 5 ulas Bawang Merah
  • 5 ulas Bawang Putih
  • 1 inci Halia
  • 5 biji Buah Keras
  • 1 sdb Kas-Kas Serbuk
  • 1 sdb Rempah Kari Daging
  • 1 sdb Rempah Kurma
  • 1 sdb Biji Jintan Manis
  • 1 sdb Serbuk Cili
  • 1 sdb Gula Merah
  • 1 sdb Minyak
  • Air untuk mengisar
BAHAN C (Tumis) :
  • 1/2 labu Bawang Besar Merah  |  hiris
  • 2 ulas Bawang Putih  |  hiris
  • 1 inci Halia  |  hiris
  • 1 batang Kulit Kayu Manis
  • 4 biji Cengkih
  • 3 kuntum Bunga Lawang
  • 5 biji Buah Pelaga
CARA PENYEDIAAN :

❀  Potong daging , bersihkan & tos
❀  Campurkan daging dengan bahan B , gaul rata
❀  Perap selama 1-2 jam
❀  Panaskan minyak secukupnya dalam kuali
❀  Tumis bahan C sehingga kekuningan dan wangi
❀  Masuk daging yang diperap , kacau hingga rata
❀  Tutup supaya daging cepat empuk
❀  Apabila daging sudah 3/4 empuk masukkan kentang , tutup lagi
❀  Apabila daging sudah empuk dan air daging sudah agak mengering , masuk santan diikuti air , kerisik , garam  &  asam keping
❀  Masak hingga mendidih dengan api sederhana
❀  Rasakan garam dan gula , jika kurang tambah sesuai selera
❀  Setelah mendidih kecilkan api
❀  Renihkan sehingga kuah pekat dan terbit minyak

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *