KEPUTUSAN PKR CABANG PERMATANG PAUH BERPIHAK KEPADA RAFIZI

Shamsul Munir Safini
shamsulmunir@nstp.com.my

PERMATANG Pauh yang dahulunya adalah ‘lubuk’ Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, memilih Rafizi Ramli dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan Sabtu lalu.

Dengan Permatang Pauh mengundi Naib Presiden PKR itu, maka ia adalah isyarat bahawa Anwar tidak berkenan dengan Mohamaed Azmin.

Bagaimanapun Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menang bagi jumlah kiraan undi di semua 13 cabang di Pulau Pinang.

Sehubungan itu, Mohamed Azmin mengatasi Rafizi yang juga Naib Presiden parti di Pulau Pinang dengan lapan cabang memihak kepadanya manakala selebihnya memilih Rafizi.

Berdasarkan kiraan undi secara terkumpul, Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu mendapat 3,326 undi berbanding bekas Ahli Parlimen Pandan mendapat 3,150 dengan majoriti hanya 176 undi.

Mohamed Azmin menang di Cabang Kepala Batas, Batu Kawan, Nibong Tebal, Bukit Bendera, Tanjong, Jelutong, Bayan Baru dan Bukit Mertajam manakala Rafizi menang di Permatang Pauh, Bagan, Tasek Gelugor, Bukit Gelugor dan Balik Pulau.

Keputusan itu sah setakat ini namun bergantung kepada pengumuman Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR, Datuk Rashid Din yang akan bermesyuarat bersama pihak pengaturcara sama ada keputusan itu adalah muktamad atau sebaliknya.

Rashid menerusi portal rasmi PKR dipetik berkata, perkara yang perlu diteliti ialah analisa teknikal sistem e-undi, pengesahan pengundi ragu dan pengesahan jumlah undi dalam sistem yang digunakan sehingga menimbulkan banyak masalah pada hari pemilihan tempoh hari.

Mohamed Azmin menerusi akaun Twitternya mengucapkan terima kasih kepada ahli PKR Pulau Pinang yang memilihnya sebagai Timbalan Presiden PKR pada pemilihan Sabtu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 September

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *