KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) mengalu-alukan pelantikan Dr Nungsari Ahmad Radhi sebagai Pengerusi Eksekutifnya yang baharu, berkuat kuasa serta-merta, seperti diumumkan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

Dalam satu kenyataan hari ini, Mavcom berkata, pelantikan itu menyaksikan Nungsari akan mengambil alih kesemua tugas eksekutif dilaksanakan bekas Pengerusi Eksekutif Mavcom, Jeneral (B) Tan Sri Abdullah Ahmad, yang meninggalkan suruhanjaya itu awal Julai lalu.

Beliau juga merupakan Pengarah Urusan Prokhas Sdn Bhd, sebuah syarikat di bawah Kementerian Kewangan dan juga  salah seorang ahli lembaga pengarah Pengurusan Danaharta Nasional Berhad, Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad dan Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Berhad.

Selain itu, pemegang ijazah kedoktoran (PhD) dalam bidang ekonomi daripada Purdue University itu pernah berkhidmat dalam bidang akademik, penasihat korporat, penyelidikan ekonomik dan penasihat dasar.