PERJALANAN HIDUP KASSIM AHMAD(1933- 2017)


 

Kassim Ahmad pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan dibebaskan pada 1981.
Kassim Ahmad pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan dibebaskan pada 1981.

Tahanan

Lima tahun lamanya beliau meringkuk di dalam tahanan Kamunting. Tidak salah rasanya jika dikatakan sepanjang penahanannya beliau mendapat ilham baru tentang Islam; sesuatu yang bukan baru untuk dirinya kerana sememangnya dia anak seorang ustaz.

Risalahnya mengenai Islam mendapat tentangan parti yang dipimpinnya sendiri. Selepas dibebaskan daripada cengkaman ISA pada 1981, Kassim semakin tidak selesa dengan PSRM. Beberapa tahun kemudian beliau meninggalkan parti itu. Jiwanya nasionalis Melayu.

Kembara mindanya dengan Islam berkembang jauh. Dia tidak memilih jalan mudah dengan sekadar membaca buku pop agama atau mendengar kuliah di masjid selepas pulang dari kerja. Baginya, akal kurniaan Tuhan perlu menjadi petunjuk arah dalam pencariannya.

Quran

Pada 1986, beliau mencetuskan kontroversi di kalangan golongan berfikiran konservatif apabila bukunya Hadis: Satu Penilaian Semula mencadangkan supaya hadis-hadis yang bertentangan dengan Al-Quran ditolak. Sekali lagi, beliau dijadikan mangsa apabila pandangannya diputarbelitkan dengan mendakwa dia mengajak umat Islam menolak semua hadis.

Sehingga hari ini kontroversi itu tidak selesai. Di kala Kassim melihat dirinya sebagai pro-Quran, penentangnya melabelkan beliau sebagai anti-hadis. Namun, yang menyedihkan, semua ruang dialog dan debat sudah ditutup. Penguasa agama dan autoriti awam mengambil jalan mudah dengan mengharamkan karyanya.

Propaganda penguasa agama bersama pemerintah yang memomokkan Kassim sebagai insan anti-hadis telah melupuskan jasa besarnya dalam bidang yang lebih luas.

Sastera

Ramai yang lupa bahawa mantan pensyarah London School of Oriental and African Studies pada 1962-66 ini merupakan sasterawan dan pengkritik sastera yang telah menghasilkan kajian tentang perwatakan Tuah dan Jebat dalam Hikayat Hang Tuah.

Mungkin ramai juga yang sudah lupa tentang kupasannya terhadap Kisah Pelayaran Abdullah yang menyentuh peranan Munshi Abdullah Abdul Kadir sebagai penulis, wartawan, penterjemah dan guru.

Ada juga yang telah lupa tentang perbahasan di antara Kassim dan Sasterawan Negara Shahnon Ahmad tentang apa yang dikatakan sebagai sastera Islam. Walaupun ada peminat sastera yang mungkin mengingatinya, cara penerimaan hasil perdebatan itu pula agak mengecewakan.

Bagi Kassim, sastera Islam itu mempunyai nilai-nilai murni Islam walau ditulis oleh sesiapa pun tetapi apa yang ada pada hari ini hanya label, kulit dan bahasa-bahasa yang menggambarkan propaganda tentang agama.

Nilai-nilai Islam yang dilihat sebagai sejagat oleh Kassim jarang dipaparkan; seolah-olah ada satu bentuk self-censorship di kalangan penulis dan penerbit. Malah hari ini, istilah liberal, plural, saksama sudah menjadi seperti kata-kata kotor dalam masyarakat Melayu tanpa memberi ruang untuk berdialog atau berbahas.

Namun, tidak semuanya begitu. Ada kalangan penulis muda yang melihat lebih jauh daripada sekadar apa yang tersurat. Mungkin mereka tidak ramai tetapi cita-cita Kassim ada dalam diri mereka.

Mereka meraikan sajak-sajaknya seperti Dialog yang terkenal dengan rangkap “ada besok maka pasti ada suria/aku akan pergi/dengan seribu Jebat di anak tani/kian alam kita mati dalam setia/kali ini kita hidup dalam durhaka!” dan Pemintaan, “kau dan aku menanti/akan musnah berapa juta dan abad/kerana kau dan aku tidak punya bicara/untuk menghapuskan mereka yang menjalang di dunia.”

Malah, orang muda menemui kembali karya kritikan sasteranya Dialog Dengan Sasterawan yang menampikan kehebatannya membedah karya-karya sepanjang 1950-an hingga akhir 1970-an.

Insan pelbagai

Namun, dalam pada itu, ada pula yang cuba meletakkan Kassim dalam kotak tertentu. Sebenarnya, tidak perlu dipecah-pecahkan siapa atau apa itu Kassim Ahmad. Tidak perlu mengatakan dia sepatutnya jangan campuri hal-ehwal agama, lebih baik kekal sasterawan. Tidak perlu mengatakan politik membuang masanya, sepatutnya tumpukan kepada kritikan sastera.

Tidak perlu itu semua kerana Kassim adalah insan pelbagai – a man for all seasons – yang tidak pernah menyekat mindanya untuk berfikir. Yang dipintanya cuma ruang untuk berbincang. Dan itulah pula yang disekat sang penguasa, malah disokong para pengikut mereka.

Inilah legasi Kassim. Batang tubuhnya tidak penting, yang ada hanyalah tulisan-tulisannya. Sama ada kita setuju atau tidak, benci atau suka, menerima atau menolak pandangannya, biarlah ia menjadi bahan dialog, wacana dan perbahasan.

Jika pengharaman dan halangan menjadi amalan, semakin kelam dan gelap minda sebahagian besar rakyat di bumi yang tercinta ini.

Semoga tenang dan damai di sana wahai saudara Kassim Ahmad.– 10 Oktober, 2017.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *