PENGALAMAN PAK BUDIN PEMANDU PELANCONG DI TAMAN NEGARA TELUK BAHANG

JANGAN CELUPAR KETIKA DI HUTAN

JANGAN CELUPAR KETIKA DI HUTAN 

Jaga adab dan pantang larang serta mulut jangan celupar. Itu antara pesanan pemandu pelancong alam sekitar berpengalaman kepada pelancong setiap kali berada di dalam hutan termasuk Taman Negara Pulau Pinang (TNPP) di Teluk Bahang.

Pada usia 66 tahun dan berstatus warga emas, kekuatan fizikal, kebolehan dan pengetahuan mengenai tumbuh-tumbuhan serta alam sekitar menjadi aset penting bagi membolehkan Maidian Rashid menerus- kan kerjaya sebagai pemandu pelancong.

Maidian atau lebih mesra disapa Pak Budin antara 20 ahli berdaftar dengan Persatuan Pemandu Pelancong Alam Semulajadi Pulau Pinang (PNTGA) dan baginya, kerjaya itu bukan saja menyeronokkan, malah dapat berkenalan dengan orang ramai selain berpeluang menimba ilmu dan pengalaman.

Beliau menawarkan khidmat sebagai pemandu pelancong ke beberapa lokasi menarik di TNPP melalui pintu masuk utama di Teluk Bahang dan sudah lebih 30 tahun membawa pengunjung ke lokasi tumpuan seperti Pantai Kerachut dan Teluk Kampi.

Menurutnya, berkhidmat sebagai pemandu pelancong memerlukan seseorang itu memiliki lesen sah dikeluarkan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan selain mempunyai pengetahuan am mengenai negeri dan lokasi tumpuan pelancong.

“Saya sudah membawa ribuan pelancong tempatan dan luar negara termasuk kumpulan pelajar, agensi kerajaan serta swasta melawat ke taman negara ini dan setiap pengunjung dinasihati supaya mengenakan pakaian sesuai selain menjalankan senaman ringan serta taklimat keselamatan mengenai larangan sebelum memulakan pendakian ke lokasi ditetapkan.

“Saya dan rakan pemandu pelancong lain perlu me- mastikan aspek keselamatan diberikan tumpuan khusus selain memastikan setiap pengunjung berada dalam keadaan selamat ketika tiba di lokasi.

“Sebagai contoh, perjalanan ke Pantai Kerachut akan mengambil masa antara dua hingga dua jam setengah dan sepanjang perjalanan menuntut kecergasan fizikal serta ketahanan mental individu,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, pengunjung pasti teruja apabila berpeluang melihat keindahan alam semula jadi dengan flora dan fauna yang terdapat di dalam hutan simpan di TNPP, sekali gus penat lelah meredah perjalanan dirasakan berbaloi.

Katanya, dia akan turut memberikan penerangan mengenai daun dan tumbuhan yang boleh dijadikan ubat selain mempunyai nilai komersial di pasaran.

“Kami akan memastikan setiap pengunjung tidak membawa pulang apa saja bahan seperti tumbuhan keluar dari hutan selain sampah-sarap mesti dibuang ke dalam tong.

“Pengunjung dinasihati supaya menjaga adab dan pantang-larang serta tidak ‘celupar mulut’ atau mengusik haiwan atau serangga yang ditemui sepanjang perjalanan,” katanya.

Sikap mesra dan kebolehan bertutur dalam bahasa Inggeris dengan baik ditampilkan Pak Budin sering menjadi buah mulut bukan saja dalam kalangan pelancong tempatan, malah pelancong luar negara yang mahu mendapatkan khidmatnya.

Katanya, kadar harga pasaran dikenakan ialah RM250 untuk khidmat pemandu pelancong pergi dan balik ke lokasi ditetapkan kepada individu atau berkumpulan.

“Menerusi kerjaya ini saya berpeluang mengenali pelancong dari pelbagai negara sambil bertukar-tukar cerita dan tempat pelancongan menarik di negara mereka,” katanya.

Nasihat pemandu pelancong jika masuk Taman Negara

Pulau Pinang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *