WARISAN MELAYU PULAU PINANG – KENAPA NAMA SEPAK TAKRAW TIDAK SEPAK RAGA BULAT

SEPAK TAKRAW ASALNYA DARI PULAU PINANG,HAMPA PERNAH AMBIL PEDULI TENTANG NI ATAU TAK?

Dikenali sebagai sepakbola jaring pada awalnya dan ditukar kepada sepakraga jala atau jaring namun atas permintaan negara Laos,Kemboja & Thailand ianya akhirnya dinamakan sebagai Sepak Takraw.

Walaupun sejak kebelakangan ini prestasi Sepak Takraw Malaysia seperti terumbang ambing dan tidak menentu di peringkat antarabangsa namun seharusnya negara patut berbangga sebagai negara asal yang mula memperkenalkan permainan tersebut.

Siapakah insan yang telah berjasa mencipta sepak raga moden ini?

Beliau adalah Hamid Mydin. Hamid Mydin dilahirkan pada 19 September 1916 dan tinggal di Jalan Patani,Pulau Pinang. Pada masa itu,sepakraga bulatan dimainkan di banyak tempat oleh orang tua sahaja. Anak muda dan masyarakat pada masa itu kurang meminati permainan itu. Oleh sebab itu Hamid Mydin telah bertindak untuk mengubah semula dan memodenkan permainan itu dengan menggunakan jaring dan gelanggang.

Bertempat di suatu kawasan bertar (tapak bekas Hospital Haiwan di Jalan Patani,Pulau Pinang),Hamid Mydin menggaris dengan menggunakan kapur tulis dan kemudian meregangkan tali rami di tiang. Dengan sebiji bola raga buruk beliau menyuruh sahabatnya Mohamad Abdul Rahman,seorang anak tempatan Jalan Hatin,Pulau Pinang berdiri di sebelah sana dan beliau sendiri di sebelah sini. Mereka menendang bola raga pergi balik secara satu lawan satu.

 

Pada hari-hari berikutnya beliau telah membuat penambahan 2 orang kepada 4 orang dan akhirnya 6 orang pemain. Idea dan perubahan itu telah berjaya menarik perhatian ramai. Pemain-pemain muda mula tertarik dengan permainan yang menggunakan 3 pemain sebelah dan berjaring ini.

Selepas itu pihaknya telah membuat beberapa lagi perubahan dalam permainan dan berjaya mendapat sambutan hebat dari negara jiran,Thailand. Corak permainan sekarang terhasil dari perubahan yang dibuat bersama Yusof Latif yang pernah menjawat jawatan Setiausaha Agung Persekutuan Sepakraga Malaysia serta hasil usaha berterusan bersama Syed Abbas Al-Habshee.

Dalam masa yang singkat permainan sepak raga berjaring dimainkan dan dipertandingkan di stadium-stadium bertutup. Persekutuan Sepakraga Jaring Malaysia telah mengiktiraf Hamid Mydin sebagai pencipta dan pengasas permainan Sepakraga Jaring. Banyak anugerah telah diterima beliau sepanjang penglibatannya dalam sukan tersebut.

Hamid Mydin telah kembali ke Rahmatullah di kediaman anaknya di Taman Abidin Jalan Perak Pulau Pinang pada 18 Disember 1991 bersamaan 12 Jamadil Akhir 1412H pada usia 75 tahun dan jenazahnya telah disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Perak,Pulau Pinang.

Mudah-mudahan roh Allahyarham Hamid Mydin ditempatkan di kalangan orang-orang yang dikasihi ALLAH S.W.T.

AL-FATIHAH dari kami di Demi Pulau Pinang buat tokoh sepak takraw tanahair,Hamid Mydin.

“Jangan lupa sumbangkan LIKE dan SHARE untuk makluman semua orang Pulau Pinang”

Artikel asal : http://hamidmydin.blogspot.my/
Olah semula : Panel Sejarah DPP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *