SALAH SIAPA BILA BERLAKU PENAFIAN SEJARAH,JATIDIRI DAN KEHADIRAN WARISAN MELAYU DI P.PINANG SELEPAS MERDEKA

AHMAD Murad Merican ketika menyampaikan syarahan bertajuk Identiti di Malaysia: Penafian Melayu dan Wajah Melayu Tanjong di Rumah Pena. – Foto Hafiz Sohaimi

Senario penafian sejarah, unsur Melayu berleluasa di Pulau Pinang

KUALA LUMPUR: Usaha berterusan menafikan unsur kemelayuan di Pulau Pinang menyebabkan sejarah Melayu semakin terpinggir dan terasing daripada warisan negeri itu.

Senario itu berlaku kesan pelbagai tulisan sejarah sejak zaman kolonial sehingga ada kumpulan pemikir pada masa kini mengelak menggunakan nama Melayu.

Lebih parah lagi apabila sejak merdeka, tidak banyak usaha terancang dan bergerak secara intelektual untuk mempertahankan sejarah Melayu.

Keadaan itu dikongsi oleh Profesor di Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Antarabangsa (CenPRIS), Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Datuk Dr Ahmad Murad Merican di Syarahan Penafian Melayu dan Wajah Melayu Tanjong di Rumah Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) di sini.

Ahmad Murad berkata, apa saja istilah yang mempunyai kaitan dengan nama Melayu di Pulau Pinang akan disisihkan demi mengelakkannya daripada digunakan seperti Pengajian Melayu di sebuah kumpulan pemikir di negeri itu yang kemudiannya ditukar kepada Pengajian Nusantara.

Malah kata Ahmad Murad, dalam satu kolokium di Pulau Pinang, ratusan kertas yang dibentangkan tidak ada satu pun antaranya yang berkisar mengenai Melayu dan kalau sekalipun, memperlihatkan imej Melayu yang dibentuk dengan sangat daif sekali.

Beliau berkata, senario itu sebahagiannya disebabkan pelbagai tulisan berat sebelah yang digunakan bagi menafikan kewujudan bangsa Melayu.

“Antara yang paling popular ialah tulisan akademik oleh Timothy Bernard melalui Contesting Malayness: Malay Identity Across Boundaries yang kini digunakan dengan meluas sebagai hujah popular bagi menidakkan kewujudan Melayu.

“Wujud juga penulisan mengenai sejarah Pulau Pinang dari abad ke-19 oleh pegawai kolonial, penulis bukan Melayu dan Melayu sendiri yang melihat Pulau Pinang sebagai pelabuhan tempat pelbagai budaya tetapi digarap penuh Euro-centric (bertumpuan Eropah).

“Bagi saya, ia adalah kepelbagaian budaya yang palsu apatah lagi apabila mereka menolak Melayu,” katanya pada syarahan yang turut dihadiri Ketua Satu, Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), Datuk Zainal Abidin Borhan dan Presiden PENA, Dr Mohamad Saleeh Rahamad.

Ahmad Murad berkata, senario penafian Melayu di Pulau Pinang ini juga berleluasa apabila kumpulan Melayu di negeri itu sendiri tidak mengambil berat mengenai sejarah dan warisan Melayu.

“Sejak merdeka selama 60 tahun, tidak banyak kumpulan yang mempertahankan dan melindungi sejarah Melayu menyebabkan ia semakin terkeluar daripada warisan Pulau Pinang itu sendiri,” katanya pada syarahan sempena Mesyuarat Agung Tahunan PENA ke-54.

Bagi membendung apa yang berlaku di Pulau Pinang daripada ‘merebak’ ke bandar besar lain di negara ini, Ahmad Murad menekankan pentingnya ‘melawan’ hujah ditimbulkan dengan wacana intelektual yang bersifat kesarjanaan.

“Kita kini berdepan dengan cabaran intelektual dan jika mahu melawannya dengan berkesan, di sinilah peranan sejarawan, ahli akademik serta penggiat budaya untuk menggunakan wacana intelektual kesarjanaan yang objektif.

“Elakkan daripada sekadar melawan dengan laporan polis saja kerana ia hanya menunjukkan yang kita tidak sedia berlawan dengan hujah,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *