TANJONG TOKONG KINI- DARI KAMPUNG NELAYAN JADI METROPOLITAN : DI MANAKAH RAKYAT ?

Oh Malaysia negaraku melangkah angkuh jaya -maju

Menerpa maju begitu laju

Di manakah rakyat

Terutama Melayu tonggak ketuanan maha berkat

Tampak kian  hanyut dan terasing di bumi sendiri

Namun para pemimpin terus bangga mendabik,

Demi pembangunan negara kita harus korbankan segala gala yang terbaik,

Meski bangsa dan negara jungkir terbalik,

Adakah contoh sebegini di Jepun, Korea dan Taiwan

Maju atas upaya sendiri hasil jihad ekonomi,

Menggenggam negara dengan kuat, menawan teknologi terkini,

Memproses bahan mentah menjadi produk siap

Kita, kita, kita apa yang dibuat?

Jual bahan mentah termasuk bauksit yang masih bergelumang tanah,

Membiarkan udara berkabut,sungai memerah,

Asalkan sekejap mendapat wang berlimpah

Majunya mereka tanpa jual  tanah dan kepentingan strategik kepada negara luar dan orang asing,

Kita terbalikkan segalanya,

Maju kita sekadar bangga, kutip cukai dan makan komisyen,

Bangsa dan negara ?

Itu tidak  apa apa !

Rakyat banyak kita  dodoikan dengan kata kata keramat

Ketuanan bangsa dan kedaulatan negara masih utuh di tangan kita

Takkan Melayu hilang di dunia,

Itu sekadar kata, realitinya bagaimana,  milik siapa ?

Jadilah rakyat ramai cuma jelmaan  Pak Pandir, Lebai Malang dan Pak Kadok,

Dikeronyok propaganda berganda yang menusuk ,

Menang sorak  kampung tergadai,

Negaranya  bernama Malaysia ertinya Kepulauan Melayu

Namun  rakyat Melayu tersia sia,

Dikuyukan matanya, ditulikan telinganya, ditutupi mulut  dengan dedak dan serdak,

Gagal membaca realiti menyebabkan kita tersentak,

Tanah  Melayu milik  asal tertinggal sisa

Terusir di negara MERDEKA

Petaka dua golongan utama

Apabila baik mereka baiklah segalanya

Rosak mereka binasalah semuanya

Alim ulama dan para elit penguasa,

Apabila mengkhianati AMANAH musnahlah agama,bangsa dan negara,

Dipermainkan tangan tangan durjana pelahap dunia,

Molekkah kita berkata Tak kan Melayu hilang di dunia?

Melayu ada tetapi menjadi mangsa,

Situasi  yang sama sekali tidak berpihak kepada kita,

Justeru sedarlah jangan alpa lagi,

Pilih pemimpin berhati nurani

Berubah jika tak mahu rebah

Demi kemenangan  ayuh BERSATU kita melangkah

Humbankan  rejim perosak bangsa dan negara !

Jadi pemisah era lama yang bobrok dan basi,

Menuju zaman baru yang dipasak reformasi

Buat memimpin Malaysia negara tercinta,

Tidak tersia sia di persimpangan dunia !

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *