PROJEK BESAR DI TELUK BAHANG MANA BAHAGIAN RAKYAT ?

Banyak projek besar yang diserah kepada swasta di Teluk Bahang. Di antaranya  Escape yang amat dibanggakan oleh calon PKR 2 kali pada PRU 2008 dan 2013 di DUN Teluk Bahang, Datuk Hj Halim Hussein. Memang projek itu melonjakkan ekonomi pelancongan P.Pinang. Namun apakah pulangan faedahnya kepada rakyat tempatan, selain daripada peluang pekerjaan.Para peniaga dan penjaja langsung tidak mendapat peluang untuk berniaga di situ. Ia dimonopoli secara penuh oleh syarikat berkenaan.

Kerajaan negeri P.Pinang rela menyerahkan tanah milik PBA kepada Escape untuk mewujudkan peluang ekonomi. Tidakkah molek satu jorong daripada tanah diperuntukkan kepada MBPP untuk membangunkan gerai penjaja demi membuka peluang ekonomi kepada para penjaja di Teluk Bahang. Kecenderungan kini ialah menghalau penjaja daripada tapak pembangunan tanpa menyediakan tempat untuk mereka. Di mana perginya kewajaran dan kewarasan untuk membuka pekuang ekonomi kepada rakyat tempatan berniaga dan mendapat sedikit limpahan ekonomi dari kehadiran para pelancong.

Dasar tidak peka terhadap peluang peluang  ekonomi terhadap rakyat tempatan dan golongan bawahan hendaklah dihindarkan. Dengan ini rakyat terasa nasib mereka dibela. Kini hendak menjaja di tepi pantai yang dulu kawasan nelayan membina penghidupan pun disekat.Semakin terasa peluang rakyat untuk  berniaga dan bersantai ditepian pantai semakin tersekat. Pantai dan laut dihadapannya menjadi hak eksklusif syarikat besar. Hak awam semakin terhakis demi pembangunan ekonomi yang pulangannya tidak terasa oleh rakyat melainkan dimonopoliti oleh para korporat dan konglomerat.

Dasar ekonomi bersifat monopoli sebegini amat tidak seimbang dan perlu diperbetulkan. Rakyat pun tidak meminta banyak hanya sejorong kek kecil untuk hidup dalam dunia yang terhimpit oleh inflasi bikinan ekonomi kapitalis yang tamak dan memikirkan keuntungan untuk mereka. Adakah kerajaan yang sepatutnya bersifat pengimbang tidak terlalu menyebelahi swasta yang membolot segalanya.

Kini projek yang sedang rancak ialah hotel perubatan SENJA AMAN. Ia dijangka siap menjelang  tahun 2019. Apakah projek ini juga akan dikawal oleh swasta 100 peratus sama  seperti projek ESCAPE sebelumnya ?Khabarnya para penjaja yang membuka gerai ditepi pantai dekat dengan projek tersebut pun akan dihambat keluar. Mereka bukan pendatang asing. Mereka adalah rakyat tempatan yang mencari rezeki secara halal di tempat asal mereka iaitu Kampung Nelayan Hujung Batu Teluk Bahang. Apakah kerajaan negeri tidak ada rancangan untuk mewujudkan kompleks  atau gerai penjaja secara teratur  di sana. Kerajaan tidak harus mengambil pendekatan berperang dengan rakyat.Rakyat juga ada hak mendapat bahagian daripada limpahan ekonomi. Dari sekarang fikirkanlah satu mekanisme mengikut sertakan rakyat dalam pembangunan bukannya mengusir mereka daripadanya. Kerajaan negeri P.Pinang yang diterajui oleh DAP dan PKR atas nama PAKATAN HARAPAN menjafi harapan rakyat. Semoga harapan ini tidak tinggal harapan dan menjadi kekesalan yang menimbulkan kekecewaan yang berkepanjangan. Kerajaan yang baik adalah yang mempunyai tanggung jawab sosialnya terhadap rakyat. Bukan yang ganas dan zalim terhadap rakyat yang mengharapkan pembelaan daripada kerajaan yang diamanahkan menjadi pembangun ejonomi rakyat marhain dan daif  keluar daripada tekanan hidup yang semakin berat. Dalam membangunkan ekonomi komersial ,ekonomi lokal/ tempatan mesti diikut sertanya. Itulah model ekonomi yang lebih adil dan wajar.

Kini para penjaja dianggap musuh dan ancaman yang menceroboh hak kerajaan negeri. Sedangkan mereka adalah rakyat penggerak kepada ekonomi tempatan dengan berdikari melalui sektor penjajaan yang sepatut dicari jalan bagaimana mengembangkankan secara tertib bukan menghancurkan mata pencarian penghidupan mereka.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *