SEDARLAH KITA KINI PENGEMIS SEJARAH & PELUKUT WARISAN DI NEGARA SENDIRI – “MERDEKA”!!!!!!!!!

Pengkaji sejarah, Prof Datuk Dr Ahmad Murad Merican mencadangkan supaya nama George Town dan Butterworth di Pulau Pinang ditukar kepada nama asal iaitu masing-masing Tanjong dan Bagan.

Justeru, beliau meminta Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), Jabatan Warisan Negara dan kerajaan negeri Pulau Pinang supaya mengekalkan nama asal dua tempat berkenaan.

Nama Tanjong ditukar kepada George Town oleh pengasas penempatan British di Pulau Pinang, Kapten Francis Light pada 1786 dan nama Bagan ditukar kepada Butterworth oleh gabenor pertama Pulau Pinang, Sir George Alexander William Leith.

“Nama asal itu membuktikan bahawa komuniti Melayu sudah berada di situ sebelum ketibaan Francis Light dan dengan mengiktiraf nama asal, maka sejarah yang lebih tua turut diiktiraf,” katanya pada sidang media, hari ini.

Menurutnya, Datuk Nakhoda Intan, atau nama asalnya Raja Nan Intan dari Paya Kumbuh, Sumatera Barat, telah membuka pelabuhan Batu Uban serta mengasaskan penempatan di kawasan itu pada 1734 selepas mendapat perkenan Sultan Kedah, Sultan Muhammad Jiwa Zainal Abidin Muazzam Shah II.

Selepas ketibaan Datuk Nakhoda Intan, saudaranya Nakhoda Bayan dan Nakhoda Kecil telah datang ke pulau itu bagi membuka kawasan penempatan di Bayan Lepas dan Jelutong, kata Prof Ahmad Murad, yang juga ahli fakulti Pusat Penyelidikan dan Kajian Antarabangsa (Cenpris), Universiti Sains Malaysia (USM).

Selain nama George Town dan Butterworth, beliau berkata kerajaan negeri boleh menamakan nama-nama jalan mengikut pengasas kawasan penempatan Melayu seperti Datuk Nahkoda Intan dan Datuk Nakhoda Kecil.

Prof Ahmad Murad, yang juga presiden Persatuan Sejarah dan Warisan Melayu Pulau Pinang, berkata langkah menukar kepada nama asal perlu bagi menyahjajah kerana pengasas awal sebelum ketibaan Francis Light tidak diiktiraf oleh mana-mana pihak.

“Langkah ini adalah satu penghormatan kerana mereka ini juga menyumbang kepada sejarah negeri ini. Jangan hanya melihat kepada sejarah orang kulit putih…biar lebih daripada itu,” katanya.
Dalam pada itu, katanya Cenpris berusaha mengenal pasti kewujudan lebih 660 kampung tradisional di seluruh negara untuk pengumpulan sejarahnya.

“Ini bertujuan bagi mengelak sejarah kampung tradisional itu dipadam sama sekali,” katanya. – Bernama

BERITA TAMBAHAN 

Warga New Zealand Mark Lay yang merancang untuk menjadikan Malaysia sebagai negara keduanya berkata dia tidak mahu Pulau Pinang menjadi seperti Singapura yang kehilangan banyak bangunan bersejarah.

Aktivitis-aktivis warisan & alam sekitar pula mendesak kerajaan negeri P.Pinang serius untuk memelihara Bandar Warisan Georgetown.

Foto Penang Kini.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *