KISAH KEJAYAAN RESTORAN ANAK PULAU PINANG DI KL

PEKNGA CICAH KARI SARDIN                    Sajian cita rasa asli di Kreit Koffee

SHAHNAZ  RAZAD YAHAYA  MENUNJUKKAN BEBERAPA SAJIAN YANG DITAWARKAN DI KREIT KOFEE  

Melihat dari luar dan menilai letak lokasinya, ramai yang akan mengandaikan kafe yang menghuni salah satu unit di pusat beli-belah serba moden, Sunway Nexis, di Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor, ini adalah sebuah kedai makan sajian Barat milik orang asing.

Namun, mungkin benar ungkapan Inggeris, don’t judge the book by its cover, jangan menilai sesuatu melalui luaran sahaja kerana sebaik melihat menu-menu yang tertera, ternyata tanggapan tersebut sedikit meleset.

        

Selain dimiliki usahawan Melayu, makanan yang ditawarkan juga kaya dengan elemen-elemen tempatan dan sebahagiannya masakan kampung asli yang pasti ‘menggamit’ selera sesiapa sahaja untuk mencubanya.

Walaupun lokasi serta nama kafe tersebut tidak memberi gambaran seperti sebuah kedai Melayu, percayalah ada cerita di sebaliknya.

Berjumpa dengan pemilik Kreit Koffee, Shahnaz Razad Yahaya, 45, akhirnya merungkai persoalan yang bermain di minda.

Dia menjelaskan Kreit, nama yang diilhamkan oleh rakan kongsinya yang diolah daripada perkataan create dan tidak menafikan nama tersebut mungkin tidak selari dengan senarai sajian yang ditawarkan.

Pilihan sajian makanan Melayu dibuat sebelum kafe tersebut dibuka lagi kerana percaya sajian-sajian seumpama itu dapat menggamit kenangan zaman kanak-kanak bagi kebanyakan orang.

“Menu-menu yang tersedia di Kreit Koffee ini mungkin anda boleh dapati di mana-mana kafe sekitar Lembah Klang hari ini tetapi di sini tetap ada kelainan.

“Kami cuba tampil dengan sajian kampung yang ringkas dan nostalgia seperti peknga yang dimakan bersama kari sardin, roti John diselaputi daging lembu serta telur, dan nasi lemak ayam goreng berempah.

“Selain itu dalam usaha memberikan pelbagai pilihan kepada pengunjung kami turut menyediakan sajian Barat tetapi kami mengolahnya untuk diserasikan bersama rempah ratus Melayu sehingga tercipta chicken chop cili padi,” ujarnya ketika ditemui di premis perniagaannya.

Sememangnya sajian-sajian yang ditawarkan mempunyai keistimewaan masing-masing dengan gabungan rempah ratus.

Selain peknga, roti John, nasi lemak, chicken chop cili padi, antara masakan lain yang boleh dipesan ialah lamb bamia (stew Palestin), mi kuah tulang rusuk, spageti ikan masin, nasi impit kuah kacang, dan nasi impit rendang daging.

Kiranya berbaloi apabila jika membawa keluarga menjamu selera di sini kerana selain makanan yang sedap harga juga tidak terlalu mahal.

Beroperasi setiap hari kecuali Jumaat dari pukul 9 pagi hingga 6 petang (Isnin hingga Khamis) dan 12 tengah hari dan hingga 11 malam (Sabtu dan Ahad), Kreit Koffee ini boleh memuatkan seramai 60 pengunjung pada satu-satu masa.

Dibantu seramai lima orang pekerja dan tiga orang chef, Shahnaz berkata, kesemua bahan masakan yang digunakan adalah bahan-bahan tempatan dan sudah pasti mereka memperoleh secara segar.

Turut menawarkan pelbagai minuman yang enak, pengunjung boleh mencuba segelas coconut shake, laici kelapa atau pun secawan badam panggang panas.

Berbicara lebih lanjut mengenai waktu operasi kafe tersebut sempena bulan Ramadan ini, menurut Shahnaz, kafe tersebut akan menawarkan menu berbuka puasa secara bufet.

“Sepanjang bulan puasa nanti kami akan memulakan operasi pada pukul 6.30 petang hingga pukul 10 malam dan kami menawarkan lebih daripada 50 menu untuk dinikmati.

“Insya-Allah apa yang kami tawarkan setiap hari itu jugalah yang akan diberikan sepanjang Ramadan ini dan kami akan pastikan kesemua sajian adalah yang segar dan terbaik,” katanya sebelum mengakhiri bicara.

– See more at: http://www.utusan.com.my/gaya-hidup/keluarga/peknga-cicah-kari-sardin-1.332047#sthash.sYgoV4US.dpuf

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *